SPI PAHANG

Selasa, 18 April 2017

SAHSIAH HADAPI FITNAH AKHIR ZAMAN


      Seringkali terlintas dari corong khutbah, media massa dan kelas pengajian tentang istilah 
     "fitnah   akhir zaman". Dikatakan fitnah menggugat kepercayaan dan pegangan agama kita.
     Fitnah juga menjerumus kita ke lembah maksiat. Apakah yang dimaksudkan dengan "fitnah
      akhir zaman"?

      Bentuk fitnah akhir zaman :
  • Syirik.
          " Dan perangilah mereka hingga tidak ada lagi kesyirikan, dan agama seluruhnya menjadi
             milik Allah" (Al-Anfal 8:39)
  • Ujian. 
         " Dan kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai bentuk fitnah."      
         (Al-Anbiya 21:35)
  • Harta dan keluarga. 
          "Sesungguhnya harta benda dan anak-anak kamu adalah fitnah." (At-Taghabun 64:15)
  • Seksaan dan hukuman.
          "Maka rasakanlah seksaan kamu, inilah yang dahulu kamu minta menyegerakannya."
          (Al-Dzariyat 51:14)
  • Bencana
          "Dan takutlah bencana yang tidak hanya menimpa orang yang zalim di kalangan kamu."   
           (Al-Anfal 8:25)
  • Halangan
          Orang yang ingin berubah untuk mengikut jalan Allah yang sebenar diganggu-gugat dengan
          pelbagai bentuk ancaman dan deraan mental dan fizikal.
  • Sukar membezakan antara kebenaran dengan  kebatilan.
          "Jika kamu tidak melaksanakan apa yang diperintah Allah, nescaya akan terjadi kesamaran
            antara kebenaran dengan kebatilan di muka bumi dan kerosakan yang besar."(Al-Anfal 8:73)
  • Kesesatan
           "Sesiapa yang Allah kehendaki kesesatannya, kamu tidak akan mampu menolak sesuatupun
             daripada Allah." (Al-Maidah 5:41)
  • Pembunuhan berleluasa
          "Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, diharuskan mengqasar solatmu jika kamu takut
           diserang orang kafir."(Al-Nisa' 4:101)
  •  Perselisihan pendapat
           "Apabila mereka bersama kamu, mereka tidak membantu kamu kecuali mendatangkan
            kerosakan dan mereka bergegas dalam kalangan kamu untuk mengadakan perselisihan antara
            kamu."(At-Taubah 9:47)

      11 Sahsiah Menghadapi Zaman Fitnah.

  • Tingkatkan ilmu pengetahuan.
           Ilmu pengetahuan berperanan membenteras kejahilan yang berleluasa kerana pada zaman
           fitnah, ilmu akan diangkat. Ilmu yang paling penting adalah ilmu tauhid atau ilmu mengenal
           Allah.
           Kejahilan dalam tauhid akan menjurus manusia kepada kesesatan dan kekufuran. Ilmu syariat
           pula menyuluh dan mengesahkan ibadah dan muamalat.
           Selain itu ilmu pengetahuan keduniaan mempunyai spektrum yang luas dan akan memandu
           umat manusia mengurus dan mentadbir muka bumi ini sebagai kahlifah.
  • Banyakkan doa.
           Doa adalah senjata yang paling mustajab dalam menangani fitnah. Sebagai hamba, kita
           bermohon kepada Pencipta agar dilindungi daripada fitnah. Malah Rasulullah sendiri sentiasa 
           berdoa agar dijauhkan daripada fitnah :
           " Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon pada-Mu agar dapat melakukan kebaikan dan 
           meninggalkan kemungkaran, agar aku mencintai orang miskin, dan seandainya Engkau 
           ingin menurunkan pada hamba-hamba-Mu fitnah, maka cabutlah nyawaku dalam keadaan 
           tidak terfitnah. (Riwayat Tirmizi dan Ahmad) 
  • Benteng diri dengan iman.
           Rasululah bersabda tentang dajal yang merupakan fitnah terbesar: "Tertulis di antara
           dua matanya ka-fa-ra (kafir) dan akan dibaca oleh setiap orang yang beriman daripada
           umatku."
  • Giatkan Dakwah.
          Dakwah adalah gerak kerja mengajak umat manusia tanpa henti untuk beriman, beramal dan
          membangunkan Islam sepertimana tugas yang dipertanggungjawabkan kepada para nabi
          seperti dalam doa Nabi Ibrahim tatkala membangun Kaabah:

          "Wahai Tuhan kami, utuslah dalam kalangan mereka seorang Rasul daripada mereka yang
           membaca seorang rasul daripada mereka yang membaca ayat-ayat-Mu dan mengajar al-Kitab
           dan hikmah serta mensucikan mereka. (Al-Baqarah 2:129)
  •  Perjuangkan amar makruf nahi mungkar.
           Allah berfirman:"Tidak ada daripada umat yang sebelum kamu ahli agama yang
           melarang daripada kerosakan di muka bumi, maka sebahagian kecil sahaja yang kami
           selamatkan daripada mereka. Orang zalim itu mengikuti segala kemewahan dan mereka
          adalah orang yang berdosa. Dan Tuhanmu tidak akan membinasakan suatu negeri
          selama penduduknya sentiasa memperbaiki agama."(Hud 11:116-117)
  • Beruzlah
          Beruzlah adalah dengan menjauhkan diri daripada fitnah yang memakan korban dan
          menumpahkan darah sebagaimana yang dilakukan oleh Ibn Umar dan sahabat-sahabat yang 
          lain. Rasulullah bersabda: Seorang yang duduk (tidak ikut agenda fitnah) lebih baik daripada
          orang yang berdiri dan yang berdiri lebih baik daripada yang berjalan menyongsongnya dan 
          yang berjalan masih lebih baik daripada yang berlari padanya.(Riwayat al-Bukhari)
  • Menghampiri ulama
          Berkawanlah dengan alim ulama. Ulama ibarat pelita. Sesiapa yang mengambil pelita nescaya 
          dapat menerangi dirinya dalam menempuh perjalanan menuju akhirat. Sebaliknya orang yang 
          menjauhkan diri daripada pelita bagikan si buta yang berjalan meraba-raba di malam yang
          gelap gelita, tersepak batu kerikil yang tajam lalu terjatuh ke dalam gaung yang dalam.
  •  Menangani fitnah dengan hikmah
           Fitnah yang datang mengganas dan membadai manusia bagaikan gelombang tsunami yang 
           menggulung. Disebabkan kekalutan, orang yang dihanyutkan arus akan menarik apa sahaja
           tempat bergantung hatta pada sehelai rumput. Orang yang bijak sentiasa berfikiran positif dan 
           jernih. Mereka tidak tergesa-gesa mengambil keputusan tatkala fitnah melanda.
  • Selidik berita yang diterima
          Hal ini lebih ketara dalam media baharu, iaitu berita berbentuk provokasi dan tidak autentik. 
          Perkara itu perlu diteliti, lihat sumbernya sebelum bertindak menyebarluaskannya. 
          Firman Allah:
          "Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka 
           periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum.
          (Al-Hujurat 49:6)

         Dipetik daripada Majalah Solusi MS 84&85

Tiada ulasan:

Catat Ulasan