SPI PAHANG

Rabu, 26 April 2017

KISAH DAN TELADAN



IKHLAS

    Dalam al-Quran, Allah s.w.t. menceritakan tentang seseorang yang mempelajari dan memahami ayat-ayat al-Quran yang sampai kepadanya. Namun dia mencampakkan ayat-ayat tersebut dan tidak mengamalkannya. Lalu Allah memebrikan kekuasaan kepada iblis untuk menguasai dan menyesatkannya.

    “Dan bacakanlah kepada mereka berita yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami, kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu lalu dia diikuti oleh syaitan ( sampai dia tergoda ) , maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat.” (Surah al-A’raf ayat 7:175)

    Menurut sebahagian ulama tafsir, seseorang yang dimaksudkan oleh Allah ialah seorang lelaki dari negara Yaman bernama Bal’am bin Bua’ura’. Pada mulanya dia dia seorang yang soleh, tetapi akhirnya menjadi orang kafir.

    Imam Ibnal-Jawzi meriwayatkan sebuah kisah menarik dari Hasan al-Basri namun tidak dapat dipastikan adakah kisah tersebut sahih atau sebaliknya. Kisah ini menggambarkan kemampuan manusia mengalahkan syaitan ketika dia ikhlas kerana Allah dan syaitan boleh mengalahkan manusia tatkala dia sesat.

    Pada masa dahulu ada sepohon pokok yang selalu menjadi sembahan dan  pujaan orang ramai. Kemudian seorang ahli ibadah menyaksikan perbuatan syirik itu dan dia bertekad untuk menebangnya.

    Keesokan harinya si abid datang membawa kapak untuk menebang pokok tersebut aagar tidak ada lagi orang ramai yang menyembahnya.

    Dipertengahan jalan si abid dihalang oleh iblis yang menjelma sebagai seorang lelaki. Iblis bertanya: “Kamu hendak ke mana?”

    Si abid menjelakan tujuannya: “Aku hendak menebang pokok yang menjadi sembahan orang. Aku sudah berjanji kepada Allah yang aku akan menebangnya.”

    Iblis pun berkata:”Mengapa kamu sibuk dengan urusan mereka? Bukankah mereka telah sesat dan jauh dari rahmat Allah.”

    Si abid tidak mengendahkan kata-kata iblis dan mereka bergaduh. Akhirnya si abid dapat menewaskan iblis yang menjelma sebagai lelaki itu dengan mudah. Iblis tidak berputus asa lalu memikirkan muslihat lain untuk menghalang si abid.

    Iblis membuat helah:”Wahai orang yang sangat tingg imannya kepada Allah, daripada kamu menebang pokok itu lebih baik kamu pulang. Sebagai gantinya kamu akan mendapati ada dua dinar di bawah bantalmu setiap hari apabila bangun tidur.” Mendengar tawaran iblis, si abid mulai tertarik dengan tawaran iblis dan di pulang ke rumah.

    Keesokan pagi, ketika bangun tidur, dia mendapati ada dua dinar di bawah bantalnya sebagaimana yang dijanjikan oleh iblis. Si abid sangat gembira dan perkara tersebut berlaku selama tiga hari berturut-turut.

    Pada hari keempat, wang yang sepatutnya dia peroleh di bawah bantal tiada lagi. Ini menjadikan si abid marah kerana berasa ditipu. Lalu dia mengambil kapak dan menuju ke tempat pokok yang hendak ditebangnya dahulu.

    Sebagaimana sebelumnya, si iblis yang menjelma sebgai manusia menghalangnya lagi. Sambil tersenyum si iblis bertanya: “Kamu hendak ke mana?”

   Si abid menjawab:”Aku hendak menebang pokok yang sering menjadi sembahan manusia.”
Iblis berkata dengan nada ejekan:”Kamu telah berdusta dan kamu tidak mungkin  dapat menebangnya.

    Tetapi si abid tetap berkeras mendekati pokok tersebut untuk menebangnya. Maka mereka berkelahi tetapi dengan mudah iblis dapat mengalahkan si abid.

    Lalu si iblis mencekiknya sehingga hampir mati. Iblis berkata:”Tahukah kamu siapa aku sebenarnya? Aku syaitan. Pertama kali kamu datang hendak menebang pokok itu, aku tidak mampu mengalahkan kamu kerana kamu ikhlas kerana Allah. Lalu aku memujuk kamu dengan dua dinar sehingga kamu terpengaruh dengan tawaran aku. Namun kali ini kamu hendak menebang pokok itu kerana marah tidak mendapat wang, maka ketika itu aku dapat mengalahkan kamu.”

#Jom Pakat Betulkan NIat Ikhlas Kerana Allah.
#Dipetik dari Majalah Solusi 56 MS 99

Ahad, 23 April 2017

PENGURUSAN KONFLIK DALAM ORGANISASI



10 Petua Mengurus Konflik.

    Konflik yang berlaku dalam sesebuah pasukan boleh menjejaskan prestasi dan merosakkan kelangsungan hidup seseorang. Apabila ia terjadi, banyak implikasi dan kesan negatif yang boleh dilihat. Bukan sahaja kepada individu yang berkonflik, ia melibatkan juga organisasi secara amnya.

    Setiap manusia berbeza. Ada orang yang sering ditimpa konflik; sama ada di rumah atau di pejabat. Ada pula yang jarang sekali berhadapan dengan konflik.Kehidupan mereka lebih gembira dan berprestasi berbanding orang yang sering ditimpa konflik.

    Oleh yang demikian, kita bersetuju bahawa konflik mendatangkan banyak kesulitan dalam pelbagai situasi. Jadi, apakah yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan atau mengurangkan daripada berlakunya konflik?

    Ada beberapa petua berguna untuk mengatasi konflik yang melanda:

  • Memiliki Hati Yang Wang Suci
          Orang yang bersifat busuk penuh dengan sifat-sifat yang membawa kepada konflik. Hasad, 
          dengki, dendam, marah, takbur, sombong, menunjuk-nunjuk dan berbangga diri adalah sifat
          orang yang selalu berkonflik. Jauhi diri daripada mereka, dan jagalah hati anda supaya tidak
          dijangkiti penyakit-penyakit jiwa.

  • Berhenti Menghukum Orang Lain.
          Jangan terlalu memandang keburukan dan kelemahan orang lain sahaja. Mungkin dia pernah 
          melakukan kesilapan, tetapi bukankah ia satu kesilapan? Berikan peluang kepada dia untuk 
          memperbaiki kelemahan yang ada. Nilai seseorang dengan prestasi yang ditunjukkan, bukan
          semata-mata kerana individu tersebut.

  • Berikan Peluang Kepadanya Untuk “Meletup”
          Jika dia marah, berilah peluang kepadanya untuk meluahkan apa yang terbuku. Diamkan diri
          dan dengar dengan penuh perhatian. Tidak salah jika merendah diri untuk kebaikan bersama. 
          Jika anda asyik mencelah dan bertekak dengan orang yang tidak rasional, anda juga akan   
          dilihat sebagai orang yang tidak rasional.

         Orang yang rasional tidak “meletup” dan mengamuk. Tiada gunanya bertengkar atau bertikam 
         lidah. Beri peluang mereka untuk meluahkan segala “lava dan muntahan” kemarahan mereka.  
         Jangan mencelah. 

  • Ingat Tujuan Hidup
          Kita diutus sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini. Maka setiap kali berlaku 
          konflik, kita tanya pada diri: “Adakah konflik itu membantu saya melaksanakan tujuan 
          tersebut? Adakah konflik ini berbaloi untuk diteruskan? Bukankah kita ada tujuan hidup yang 
          lebih besar dariapada semua ini?”

  • Pastikan Pintu Komunikasi Sentiasa Terbuka
          Tonjolkan imej bahawa anda seorang yang menerima apa-apa sahaja komen darpada orang
           lain. Tanpa komunikasi terbuka, orang lain akan “makan hati” dan menympan perasaan tidak 
           selesa terhadap anda.
 
         Ini hanya menimbulkan konflik dan krisis yang tidak diperlukan. Jangan sekali-kali mengherdik
         orang lain, semata-mata kerana dia bersuara. Ia hanya akan menutup pintu komunikasi buat 
         selama-lamanya.

  • Turun Padang

          Ada kalanya orang bawahan berasa terasing dan terpinggir untuk berjumpa anda secara tidak 
          langsung. Mungkin kerana jawatan atau pejabat yang agak jauh. Oleh itu, apa salahnya anda 
          turun  padang  melihat mereka bekerja .

          Lebih baik, kalau sesekali anda mengajak mereka makan bersama-sama dan berbual tentang 
          rutin kerja mereka. Ini sangat baik untuk membentuk suasana kerja yang kondusif.

  • Sesukar Mana Sekalipun, Bawa Berbincang
          Semakin sulit sesuatu perkara, semakin perlu dibincangkan bersama-sama. Kenal pasti perkara-
          perkara yang menjadi “api dalam sekam” dalam organisasi anda. Jangan tunggu sehingga 
          berlaku konflik, barulah hendak dibincangkan. Teliti perkara-perkara sulit dan sukar yang 
          belum dibincangkan. Atur pertemuan, dan bincangkan dengan hati yang terbuka.

  • Tumpukan Kepada Maklumat Dan Data.
          Elakkan daripada mempercayai khabar angin dan gosip. Sebagai seorang yang berpendidikan 
         dan mempunyai harga diri, anda tidak sepatutnya dipengaruhi oleh sesuatu yang tidak berasas.  
         Jika khabar angin yang tidak menyenangkan, lakukanlah penyiasatan sebelum bertindak. 
         Jangan tergesa-gesa. 

  • Biarlah Mereka Tahu Apa-Apa Yang Berlaku.
          Melakukan perkara yang baik tidak cukup dalam organisasi. Apa yang penting, biarlah mereka 
          tahu bahawa perkara yang baik telah berlaku. Biarlah orang lain tahu bahawa anda sudah pun
          melaksanakan tugas anda dengan baik.
       
         Bukan untuk menunjuk, tetapi untuk memastikan bahawa tiada salah faham dan buruk sangka 
         yang timbul nanti. Anda bertanggungjawab untuk melaksanakan tugasan anda, dan orang lain   
         pula berhak untuk mengetahui sejauh mana anda melaksanakan tugasan anda.

  • Maafkan Semua Orang
          Ini ialah satu petua yang ringkas tetapi amat sukar untuk dilakukan. Setiap kali sebelum tidur,
          fikirkan orang yang telah menyakiti hati anda pada hari tersebut. Tarik nafas, dan maafkan 
          mereka.

          Bukan sahaja ia dapat mengelakkan konflik, bahkan anda akan bangun dengan lebih segar dan 
          bersemangat!

          Konflik berlebihan akan meningkatkan stress serta memerlukan komitmen yang tinggi untuk
          menyelesaikannya. Apabila konflik dapat dielakkan, anda boleh menumpukan masa dan 
          perhatian untuk meningkatkan prestasi dan keupayaan diri. Oleh itu, tidak rugi jika anda   
          berusaha untuk mengelakkan konflik.

         #Jom pakat amalkan. Semoga kita akan dirahmati Allah.
          Dipetik dari Majalah Solusi #56 MS 74-75   

VIDEO PILIHAN MINGGU INI....



Video pilihan minggu ini bertajuk " Al-Quran Dan Bukti Hebatnya Ciptaan Allah oleh Dato' Ustaz Shamsuri bin Haji Ahmad  di Masjid Simpang Empat, Permatang Buloh, Seberang Prai Utara, Pulau Pinang. Selamat menonton. Semoga beroleh manfaat.

Khamis, 20 April 2017

SYUKUR....SYUKUR...SYUKUR....ALHAMDULILLAH...



 BANYAK MEMBERI TANDA SYUKUR

    “Dan Dialah yang telah mengurniakan kepada kamu apa-apa yang kamu hajati. Sekiranya kamu menghitung nikmat Allah pasti kamu tidak dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya manusia itu sangat suka meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya serta tidak menghargai nikmat Tuhannya.”(Surah Ibrahim 14:34)

    Kita akan membahaskan mengenai kewajipan bersyukur atas segala kurniaan Allah yang tidak terhitung. Imam Sya’rawi menulis dalam Mukjizat al-Quran bahawa lafaz kesyukuran itu sendiri pun diturunkan oleh Allah menerusi firman-Nya bagi mengimbangi kurniaan nikmat-Nya yang terlalu banyak. 

Apa Itu Syukur?

    Syukur dari segi bahasa ialah suatu tindak balas yang baik sama ada menerusi perkataan atau perbuatan terhadap kebaikan yang diterima oleh seseorang. Sesuatu kebaikan sering dibalas dengan perkataan atau perbuatan yang baik sebagai menghargai kebaikan yang telah diterima.

    Dari segi istilah tasawwuf, Ustaz Rashidy Jamil Al-Rashid menukilkan pendapat sebahagian ahli sufi yang menjelaskan takrif syukur:

Ibn ‘Alan al-Sidiqi.


Pengakuan terhadap nikmat yang diterima dan sifat suka membantu. Sesiapa yang bersifat sedemikian maka digelar syakur (orang yang bersyukur).

Al-Junayd al-Baghdadi

Apabila kamu menyedari bahwakamu bukanlah pemilik kenikmatan yang telah diperoleh sebaliknya ia milik Allah.

Al-Syeikh Muhammad ‘Abduh

Apabila seseorang menggunakan dan memanfaatkan segala nikmat kurniaan Allah.

Ibn ‘Ujaibah

Kebahagiaan hati atas nikmat yang diperoleh. Ia diiringi dengan mengarahkan seluruh anggota tubuh tunduk dan patuh kepada-Nya serta mengakui dengan penuh rendah hati terhadap keluasan nikmat yang diterima Allah.

Ibn ‘Athaillah

Sesiapa tidak mensyukuri nikmat, maka dia telah menghilangkan nikmat tersebut. Dan sesiapamensyukurinya, maka dia telah mengikatnya.


    Secara kesimpulannya dapat difahami bahawa kesyukuran ialah pengakuan sifat lemah para hamba dalam mengaungkan zat-Nya yang diiringi oleh pelaksanaan ketaatan pada-Nya semata-mata yang meliputi zahir dan batin.

Mengapa Mesti Bersyukur?

    Syukur maqam yang tinggi meliputi hati, lisan dan anggota badan. Syukur merangkumi sifat sabar, reda, puji-pujian dan dibuktikan dengan amal. Oleh itu, Allah memerintahkan para hamba-NYa agar sentiasa bersyukur.
    “ Ingatlah Aku, Aku akan mengingati kamu. Bersyukurlah dan jangan ingkar kepada-Ku.”( Surah al-Baqarah 2:152)

    Rasulullah sendiri sentiasa menghidupkan malam dan berdiri dihadapan Allah denga khusyuk semata-mata untuk menyatakan kesyukuran Baginda kepada-Nya. Apabila ditanya, Baginda menjawab: “Adakah tidak boleh menjadi hamba yang bersyuku?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
     
Baginda mewasiatkan kepada Muaz ibn Jabal: “Aku wasiatkan kepadamu wahai Muaz, agar engkau sekali-kali tidak lupa mengucapkan setiap kali selesai solat: “ Ya Allah tolonglah aku supaya tetap ingat kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadah dengan baik kepada-Mu.” (Riwayat Abu Daud)

AL-Junayd dan Seorang Pemuda

   Ketika seorang pemuda yang ditimpa penyakit yang parah berkesempatan bertemu dengan al-Junayd, pemuda itu memohon doa untuknya agar penyakitnya itu sembuh. Lalu al- Junayd menasihatinya: “Wahai saudara! Ketahuilah, kesabaran ketika sakit bukti kamu bersyukur sewaktu sihat.”

   Subhanallah!. Betapa kesyukuran itu mesti diungkapkan dalam apa-apa jua keadaan sekalipun kerana nikmat kurniaan Allah kepada kita terlalu banyak dan tidak akan mampu dihitung. Bersyukurlah, kita akan dikurniakan kurniaan yang lebih banyak.

Jom kita pakat-pakat bersyukur. Moga-moga kita akan dirahmati Allah.

Dipetik dari Majalah Solusi #56 MS 35

Rabu, 19 April 2017

PENDAFTARAN DAN RAYUAN KE TINGKATAN ENAM SMKA NEGERI PAHANG


 Assalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,....

Bersama-sama ini disertakan 'link' borang permohonan dan rayuan ke tingkatan 6 SMKA negeri Pahang tahun 2017.

1.  Sila klik 'link' di bawah untuk muat turun ' Borang Permohonan Dan Rayuan ke Tingkatan 6' mengikut pilihan sekolah yang bersesuai dengan kategori pemohon.

https://drive.google.com/open?id=0B3Hz13kT0WQwMEVoTWZsU0hlOEU

2. Bagi pemohon yang telah berjaya dan ditempatkan ke SMKA Pahang, Muadzam Shah, Rompin, Pahang, tahniah diucapkan.  Sila klik pada 'link' dibawah untuk muat turun bahan pendaftaran tingkatan enam.

https://drive.google.com/file/d/0B3Hz13kT0WQwdURIZm1JQ3lUaUk/view?usp=sharing

Sebarang permasalahan, sila rujuk dengan pegawai yang berkenaan iaitu En Mazlan bin Mohamad di talian 016-9375048 dari 9.00pagi hingga 5.00 petang sahaja bermula 20 April 2017.

Selamat Mencuba......

BIASAKAN YANG KANAN



Biasakan yang kanan pada perkara-perkara berikut:


  • Bersikat,memakai kasut dan bersuci.

        “Rasulullah lebih suka mendahulukan yang kanan dalam segala urusan (perbuatan) seperti     
          memakai kasut , bersikat, dan bersuci.” (Riwayat al-Bukhari, dan Muslim)


  • Makan dan minum

         “Apabila seseorang antara kamu makan hendaklah ia makan dengan tangan kanan dan minum 
          dengan tangan kanan, kerana sesungguhnya syaitan itu makan dengan tangan kirinya dan 
          minum dengan tangan kirinya.” (Riwayat Muslim)


  • Tidur

         “Apabila kamu hendak tidur di tempat pembaringan kamu, hendaklah kamu berwuduk seperti 
          wuduk untuk solat. Kemudian hendaklah kamu baring di lambung sebelah kanan kamu.” 
         (Riwatyat al-Bukhari dan Muslim)


  • Berwuduk.

        “Jika kamu ingin mengenakan pakaian dan berwuduk, mulalah dengan sebelah kananmu.”   
         (Riwayat Abu Daud)


  • Memandikan jenazah.

        “Apabila kaum wanita memandikan jenazah Zainab puteri Rasulullah, mereka mendahulukan 
          tangan kanan daripada tangan kiri, kaki kanan daripada kaki kiri, sisi kanan berbanding sisi 
         kiri, kerana Rasulullah telah berpesan kepada mereka: “Mulakan dengan anggota-anggota 
         badan sebelah kanan.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


  • Mencukur rambut.

         Anas menceritakan Rasulullah (dalam musim haji) pergi ke Mina. Setelah melontar jamrah, 
         Baginda kembali ke tempat menginap di Mina dan menyembelih unta. Kemudian Baginda 
         berkata kepada tukang gunting : “Ambil sini (dulu) .”Baginda menunjukkan bahagian kanan 
         kepala dan diteruskan dengan bahagian kepala kiri kepala.(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


  • Keluar dari tandas.

         Melangkah dengan kaki kanan dan membaca doa: غفرانك  “Keampunan-Mu (yang 
         kuharapkan).” (Riwayat Abu Dawud)


  • Masuk ke masjid

         Anas bin Malik berkata: ”Termasuk sunah apabila engkau masuk masjid, untuk mendahulukan
         kakimu yang kanan dan apabila engkau keluar, dahulukan kaki kirimu.” (Riwayat al-Hakim)

         Jom pakat amalkan moga-moga mendapat keberkatan.
         
         #Dipetik dari Majalah Al-Ustaz 15 MS 81