SPI PAHANG

Sabtu, 6 Mei 2017

TAJDID : KEISTIMEWAAN UMAT ISLAM




    Setiap umat ada zaman malapnya. Tidak sedikit umat yang gah kemudian menjadi lemah, akhirnya terus menjadi lemah, akhirnya terus punah.

    Walau bagaimanapun umat Islam ialah umat yang tidak akan mati selama-lamanya. Hal ini kerana Allah tidak putus-putus menganugerahkan kepada mereka golongan yang melakukan agenda tajdid sehingga kiamat.

    Rasulullah s.a.w. membawakan janji Allah: “ Sesungguhnya Allah akan mengutuskan pada awal setiap seratus tahun orang yang akan mentajdidkan kefahaman agama umaat.” ( Riwayat Abu Daud)

     Hadis ini membekalkan harapan kepada kita. Separah mana sekalipun kejatuhan umat, usah berputus asa untuk kembali menjadi gemilang pada satu masa nanti. Umat ini akan sentiasa hidup.

    Inilah kelebihan utama yang Allah kurniakan ke atas umat Islam yang sentiasa bergerak melakukan  tranformasi sehingga hari kiamat.

     Siapa Mujaddid?

    Orang atau pihak yang melaksanakan tajdid dipanggil mujaddid. Para ulama mengutarakan pelbagai penafsiran berkenaan mujaddid. Ada ulama yang berpendapat bahawa mujaddid ialah orang perorangan.

    Antara contoh yang masyhur ialah Khalifah Umar abdul Aziz, Imam al-Syafi’I, Imam Asya’ri dan sebagainya.

    Walau bagaimanapun saya cenderung dengan pendapat yang mengatakan bahawa mujaddid boleh jadi individu mahupun kumpulan. Dan tajdid berlaku dalam setiap bidang seperti tajdid dalam bidang fiqah, hadis dan tafsir.

     Pendapat ini turut dipegang oleh Imam al-Qaradawi sebagaimana tersebut dalam kitabnya Min Ajli Sohwah Rasyidah.

    Rukun tajdid.

    Rukun tajdid terdiri daripada empat elemen seperti yang dinyatakan oleh Dr. Ali Qurrah al-Daghi:

    1.Mujaddid : Orang yang memenuhi kriteria sebagai mujaddid.

    2.Mujaddad : Agama Islam.

    3.Al-Mujaddad  lahu : Umat Islam yang bersedia untuk menerima tajdid.

    4.Alat-alat tajdid : Pelbagai namun yang paling penting ialah ilmu.

    Usaha tajdid hanya dapat direalisasikan dengan melaksanakan empat teras. Dengan empat asas ini barulah usaha tajdid yang ingin digerakkan tidak menjadi tabdid, iaitu perosak yang meruntuhkan apa-apa yang dibina oleh ulama silam.

     Empat teras tersebut ialah :

    1.Mengenal agama Allah dengan tepat berdasarkan al-Quran dan sunnah.

    2.Mengetahui perkara-perkara yang bertambah atau berkurang pada agama.

    3.Melakukan ijtihad berdasarkan manhaj yang jelas untuk menjelaskan Islam yang sempurna.

   4.Menerangkan Islam dalam bentuk bahasa semasa.

    Ruangan Tajdid

    Dr. Ali al-Qurrah Daghi menyenaraikan 11 ruang yag boleh dilakukan tajdid:

    1.Akidah

    2.Pemikiran

    3.Ilmu dan seni

    4.Perancangan

    5.Kreativiti

    6.Akhlak

    7.Ekonomi

    8.Sosial

    9.Politik

    10.Perindustrian, perniagaan dan pertanian.

   11.Perlembagaan dan pelaksanaan.

    Dengan keluasan bidang tajdid yang disebutkan, kita mampu menyumbang dalam mana-mana lapangan yang bersesuaian dengan kerja kita.

     Tajdid hakiki hanya akan berlaku perubahan meliputi seluruh aspek kehidupan, bukan hanya urusan agama.

    Proses Tajdid

     Tajdid bermula dengan ijtihad tarjih iaitu proses pemilihan pendapat ulama sambil mempermudahkan penyampaian fiqah. Proses ini berakhir dengan ijtihad mutlak.

     Tajdid bukan sahaja terhad di peringkat ijtihad, malah merangkumi aspek penerangan, pemahaman konsep menurunkan hukum ke atas kes yang berlaku, perundangan, cara mengajar dan sebagainya.

     Walau bagaimanapun ada satu sikap yang akan membantutkan sebarang usaha tajdid. Ini merujuk kepada fenomena ketaksuban terhadap pemikiran seseorang atau mazhab tertentu. Sesiapa yang jumud tidak akan meninggalkan pendapat yang dipegangnya selama ini walaupun dia tahu bahawa ada pendapat lain yang lebih kuat dalilnya.

     Sikap begini benar-benar dan telah merugikan umat Islam. Sampai bila-bila umat akan terbantut, tidak mampu memajukan diri dek keengganan mempelajari kebaikan daripada orang lain.

#dipetik dari Majalah Solusi 56 MS 62

Tiada ulasan:

Catat Ulasan