SPI PAHANG

Isnin, 8 Mei 2017

18 LANGKAH MEMPERKASA POTENSI DIRI



Situasi 1
“Saya sudah bekerja bersungguh-sungguh, namun tidak ada apa-apa dari bos.”

Situasi 2
“Saya sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri sepenuh hati, namun suami tidak menghargai.”

Situasi 3
“Saya telah belajar sekuat hati, namun setiap kali peperiksaan saya gagal mendapat A.”


    Ketiga-tiga situasi di atas menggambarkan seseorang yang ada potensi diri untuk maju dan berjaya, namun belum mampu berupaya mengembangkannya untuk mengatasi sebarang halangan. Apatah lagi untuk berhadapan dengan lingkungan yang lebih luas dan masalah lebih kompleks.

   Antara petua untuk mengembangkan potensi diri adalah :

1.Bermula Dengan Niat.

    Berniatlah untuk mencari keredhaan Allah dan dijauhkan daripada terlibat dengan maksiat, kesombongan, ujub dan kemurkaan Allah. Jangan sekali-kali menzalimi orang lain dan mengabaikan tanggungjawab asas seperti solat fardhu , menjaga ibu bapa, mengurus rumah tangga  dan sebagainya.

2.Kenali Kekuatan Diri.

    Senaraikan soalan tentang diri dan jawab dengan jujur. Contohnya:


  • Apa kekuatan dan kelebihan saya?
  • Apa yang membuatkan saya bahagia?
  • Apa yang ingin saya capai dalam hidup?
  • Bagaimana saya boleh memberi manfaat kepada orang lain?

3.Tentukan Sasaran Hidup.

Jangka pendek seperti:


  • Lulus peperiksaan.
  • Dapat jawatan yang baik.
  • Menubuhkan syarikat perniagaan.
  • Bertemu jodoh yang sekufu.
  • Memiliki kenderaan yang mantap.
  • Memilik rumah yang selesa.

Jangka panjang seperti :


  • Kerjaya yang cemerlang.
  • Tahap kewangan yang stabil.
  • Kesihatan yang baik.
  • Keluarga yang harmoni.
  • Anak-anak soleh dan solehah.
  • Dapat mengerjakan ibadah haji.
  • Penutup kehidupan dalam husn al-khatimah.

4.Kenali Motivasi Hidup.

    Setiap insan harus mempunyai motivasi diri untuk mencapai tujuan hidup. Tidak ada apa-apa yang akan menghalang anda daripada mencapai hasil terbaik.

5.Berfikiran Positif.

    Ingatlah bahawa Allah berserta dengan apa-apa yang anda sangka. Kita boleh capai apa-apa yang minda kita gambarkan. Ahli motivasi berkata,” Untuk mencapai sesuatu tahap, hantarkan minda anda terlebih dahulu ke tahap itu.” 

     Jangan menyalahkan orang lain ketika menghadapi hambatan hidup. Yang penting sentiasa menilai langkah dan tindakan anda. Kemudian terus melangkah lagi. Jangan meletakkan hijab di hadapan laluan anda.

6.Jangan Mengadili Diri Sendiri.

    Setelah anda berusaha dengan gigih, seandainya berlaku hambatan dan gagal mencapai tujuan hidup, jangan meyesal dan menghukum diri sendiri berlarutan. Jadikan kegagalan sebagai pengalaman dan bahan pelajaran yang berharga untuk terus maju. 

7.Selalu Bertanya Orang Terdekat.

    Selalulah meminta pandangan ibu bapa, pasangan, ahli keluarga, kawan baik, jiran, guru, bos atau orang bawahan. Orang yang paling tahu tentang diri kita ialah orang terdekat. Ada ketikanya kita tidak menyedari potensi cemerlang yang kita miliki. Kerana itu kita perlukan orang lain untuk menyedarkan diri kita.

8.Banyak Membaca, Mengamati dan Merasai.

    Sentiasa mengembangkan potensi diri dan minda dengan ilmu, maklumat, pengetahuan dan isu semasa melalui bacaan, tontonan, diskusi dan pemikiran. Bahan-bahan ini boleh mengampuhkan potensi diri secara tanpa anda sedari.

    Potensi diri harus dicari dan digali, sama seperti minyak di dalam perut bumi. Kita harus mencari lokasi yang tepat untuk menggali minyak. Kedalamnnya juga tidak sama. Ada yang cepat ditemui, dan ada yang perlu menggali lama.

9.Miliki Komitmen Yang Tinggi.

    Tabiat sambil lewa tidak akan mengubah gaya hidup seseorang. Hidup ini seperti menolak objek di atas permukaan yang kesat. Lebih berat bebanan yang ditolak, lebih banyak daya yang diperlukan untuk menggerakkan objek tersebut.

10.Jangan Menganggap Orang Lain Remeh.

     Menganggap orang lain remeh hanya jalan keluar daripada kelemahan diri sendiri. Jangan bersaing dengan orang yang lemah. Kita harus bersaing dengan diri sendiri kerana itu merupakan potensi diri yang sebenar.

11.Menerima Saranan dan Kritikan Dengan Hati Yang Terbuka.

    Saranan dan kritikan merupakan asam garam hidup. Orang menegur kita kerana mereka sayang diri kita. Sifat buruk pada diri kita harus dicantas seperti mencantas pohon yang telah rosak dari sebatang pokok untuk menyelamatkan pokok itu.

12.Istiqamah ( Konsisten )

    Sentiasa melakukan yang terbaik walaupun mudah. Titisan air yang lembut mampu mengukir batu yang keras jika dilakukan berterusan. Stalaktit dan stalagmite dalam gua batu kapur memakan masa ribuan tahun untuk terbentuk, namun mantap dan kukuh.

13.Yakin Mampu.

    Masalah individu berpunca daripada kesukaran menerima diri sendiri seadanya. Percayalah, semua orang mampu mengubah persepsi diri. Seorang yang mempunyai pandangan rendah terhadap dirinya sendiri bukan bermakna telah ditakdirkan untuk menjalani kehidupan yang malang dan penuh dengan kegagalan.

    Orang yang memilik keyakinan bahawa dirinya berpotensi, nampak seperti magnet terhadap hasul usahanya. Pekerjaan yang mereka usahakan biasanya akan berjalan sehingga selesai.
Sebaliknya orang yang menjadi seperti magnet terhadap kegagalan dan ketidak berhasilan akan terus gagal. Perancangan yang disusun menjadi berkecamuk. Tidak ada perkara baik terlaksana pada diri mereka.

14.Jadikan Tugas Sebagai Hobi.

    Hobi ialah sesuatu aktiviti yag dilakukan dengan sepenuh hati dengan keghairahan dan semangat yang jitu tanpa diminta atau disuruh. Anda akan melakukannya secraa sukarela tanpa dibayar, bahkan anda rela mengeluarkan wang sendiri. Hobi boleh membawa kebahgiaan dan juga penghasilan. Perumpamaan Inggeris menyebut : “If we do what we love, then money will follow.”      

15.Mencuba Perkara Baharu

    Jangan leka duduk dalam zon selesa. Cuba perkara baharu yang belum pernah kita lakukan. Ziarahi orang baharu. Kunjungi tempat dan lokasi baharu. Pelajari kemahiran baharu walaupun pada awalnya nampak susah. Mungkin dalam salah satu aktiviti itu akan menampakkan potensi diri kita yang sebenar.

16.Kuasai Bidang Yang Disukai.

     Pelajari dan kuasai bidang yang anda suka. Galilah ilmu pengetahuan sebanyak mungkin. Dalami aspek tertentu. Jika perlu belajarlah secara jarak jauh, hujung minggu atau secara formal di kolej. Setidak-tidaknya hadiri seminar, pelajari melalui buku dan internet. Dengan belajar, potensi diri yang sudah anda miliki akan berkembang menjadi kemahiran.

17.Bergaul Dengan Orang Yang Berjaya.

    Bergaullah dengan lingkungan orang yang berjaya. Mungkin mereka senior anda. Mungkin mereka memiliki minat yang sama dengan anda. Contohnya, anda ingn menjadi seorang penulis yang lebih baik, maka bergabunglah dengan persatuan atau kelompok penulis .

    Dengan bergaul, kita dapat saling mengasah kemampuan masing-masing. Peluang untuk tampil dan menunjukkan kemampuan potensi diri akan terbuka.

18.Berani Menampilkan Potensi Diri.

     Jangan teragak-agak untuk menampilkan potensi diri apabila anda merasakan anda memilikinya. Potensi diri anda akan terus terbenam jika tidak ditonjolkan. Orang lain tidak nampak.

     Jadi, serlahkan potensi untuk menjadi lebih baik. Diri tidak akan berubah selama tidak digerakkan. Mulakan dengan mengamalkan petua-petua yang disebutkan tadi.

#Dipetik dari Majalah Solusi Isu56 MS 44-44
# Jom pakat-pakat amal...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan